Memulakan Kerjaya

Melangkah ke alam pekerjaan merupakan titik permulaan bagi anda untuk mula mendalami pengurusan kewangan dan mengetahui akaun perbankan mana yang perlu dipilih untuk memenuhi keperluan anda. Bandingkan kadar dan manfaat yang ditawarkan produk-produk yang berbeza.

Anda juga mungkin mahu mengetahui cara-cara bayaran alternatif untuk pembelian anda. Jika pendapatan tahunan anda melebihi RM18,000, anda boleh memohon kad bayaran. Bandingkan kad-kad yang ditawarkan, dan yang lebih penting, ketahui bagaimana untuk mengurus penggunaan kad-kad ini kerana penggunaan yang tidak terkawal boleh membawa bebanan kewangan kepada anda.

Antara perkara yang pelu diambil kira pada tahap ini ialah simpanan untuk pembelian rumah atau kenderaan atau perbelanjaan perkahwinan, perlindungan pendapatan, pembiayaan perubatan apabila berlaku kecemasan. Dana pencen juga sudah boleh direncanakan pada tahap ini. Jika anda ingin membeli rumah atau kereta sendiri, terdapat pelbagai pinjaman perumahan dan sewa beli kenderaan yang boleh membiaya pembelian ini, ditawarkan oleh pelbagai institusi perbankan. Bandingkan produk-produk yang ditawarkan, dan buat perbezaan harga dan ciri-ciri pinjaman. Anda juga harus ingat, dengan pembelian rumah atau kenderaan, anda juga perlu mendapatkan perlindungan takaful rumah, takaful kenderaan atau pinjaman anda.

Pertimbangkan bagaimana anda membelanjakan wang lebihan dengan berhemat. Bacalah tip tentang pelaburan dan cara-cara untuk mengelakkan pelaburan yang merugikan.

Anda juga boleh mengetahui tentang takaful perubatan dan kesihatan serta takaful berkaitan pelaburan agar anda dilindungi sekiranya perkara yang tidak diingini berlaku. Lindungi harta benda anda dengan pelan takaful yang sesuai dan anda pasti tenang melalui kehidupan seharian dengan yang tersayang. Justeru, pelan perlindungan peribadi yang komprehensif perlu dirancang.

Seterusnya, Memulakan Keluarga..